Tuesday 5 April 2016

NOT RM50 AJAIB!

# Assalamu'alaikum pembaca #


Lama sudah rasanya tidak menumpahkan idea di sini. Hanya mencopy dan mempastekan cerpen yang telah dibuat dahulu di Microsoft Word sahaja. Malas untuk menaip walaupun idea mencurah-curah ke dalam pasu bunga. 

Banyak perkara yang berlaku akhir-akhir ini. Aku punya satu kisah benar yang memang tidak akan aku lupakan sampai bila-bila. 

Tentang DUIT!

KREDIT GOOGLE.COM


Aku bukanlah seorang yang materialistik atau gilakan duit. Oleh kerana faham dengan keadaan keluarga yang hidup bersederhana dan serba kekurangan, sikap begitu sudah sebati dalam jiwa. Aku yakin sahabat yang lain juga begitu. Kebanyakan masyrakat di Malaysia ini hidup sebegai keluarga yang berpendapatan sederhana, bukan mewah atau faqir. Segelintir sahaja mungkin. 

Minggu lepas merupakan minggu yang agak 'kering' bagi kami sekeluarga. Aku yang memang sedia tiada pendapatan, Baba belum gaji dan Mama juga.

 Suatu pagi, sebelum subuh seperti biasa, aku bersiap-siap untuk menghantar Mama ke kilangnya selepas menyempurnakan solat tahajjud dan witir. Kilang Mama kira-kira 40 minit dari rumah kami. 

"Uh, minyak nak habis ni." Getus aku dalam hati.

"Ko tahu, gas habis pulak. Kintel (jemput-jemput) bawah tudung saji tu tak sempat masak. Jangan buang pulak."

Aku dapat memahami keadaan yang sebenar. Belum gaji, gas dan minyak kereta habis. Mungkin orang akan tertanya, ke mana duit gaji sebelum ini. 

Seperti biasa la. Melangsaikan hutang kereta dan kebetulan juga bulan Mac cukai jalan kereta mati. Kereta yang ini perlu diselamatkan awal kerana ini kereta digunakan sepenuhnya untuk bergerak. 

Ikan dalam peti ais usah diperkatakan lagi. Memang kosong. Kucing kami berenam pun terpaksa makan nasi dengan ikan kering yang sama dengan kami. Ini bukan rekaan seperti dalam televisyen, ini kisah realiti kehidupan mungkin sama seperti orang lain. 

Lampu minyak sudah berkelip dipertengahan jalan pulang ke rumah selepas hantar Mama. Nasib baik Mama tak sempat tahu. Memang tak senang memandu, melihatkan lampu itu berkelip. Tapi, aku pernah dengar rancangan pasal kereta di radio Ikim. Kalau berlampu pun, masih boleh jalan berapa kilometer lagi. Insya-Allah, sampai ini. Getus hatiku.

Sepanjang hari di rumah aku memikirkan bagaimana mahu menyelesaikan masalah ini. Tiada apa yang dapat kubantu, melainkan meratap dengan Allah swt. Ketiadaan gas membuatkan aku makan apa sahaja yang ada di rumah. Mungkin ini rezekiku pada hari ini.

Petang tu, sebelum mengambil Mama balik kerja, aku bersolat Asar. Aku rasa sudah lama aku tak berdoa sebegitu rupa. Bersungguh-sungguh dan penuh raja' (pengharapan). 

Air mataku menitis berkali-kali. Aku tak pasti apa perassanku tika itu. Yang aku minta pada Allah swt ialah [jangan jadikan kami orang yang suka mengeluh, jadikan kami orang yang sentiasa bersyukur dan masukkanlah duit royalti buku secepatnya].

Itu sahaja yang aku minta. Aku takut di saat genting begini aku menjadi terlalu angkuh untuk minta itu dan ini dengan Allah swt. Malu rasanya. 

Seusai melipat sejadah, aku terpandang beg laptop merahku di kerusi. Tergerak tangan untuk menyeluk poket hadapan beg. 

????

Sekeping not RM50!

Tiada apa yang mampu aku lakukan. Terus kusujud syukur dan menangis sepuasnya. 

Terima kasih ya Allah! Terima kasih! Sampai saat aku menaip ayat ini badanku ada sedikit getaran. Tahap syukur yang terlampau tinggi tidak dapat aku ungkapkan. 

Lupa untuk kukatakan. Sebenarnya aku ada RM30 dalam simpananku. Tapi duit itu aku simpan untuk membayar yuran program yang sepatutnya RM50. Aku sudah sehari lambat untuk membayar yuran tersebut. Walau macam mana pun kita ada masalah, untuk program tarbiah jangan pernah kita kedekut. 

Walaupun orang tidak memahami ketiadaan duit dalam simpanan kita, jangan pernah mengeluh. Memang kadang-kadang ada terfikir, "Dia tak faham ke gaya mesej aku?" "Tak rasa ke aku ada masalah kewangan?". Jujurnya mengharapkan bantuan, tapi tiada yang memahami. Tidak mengapa, Allah swt kan ada!

Dengan duit itu mungkin dapat beli gas dan isi minyak kereta. Aku mengambil keputusan untuk isi minyak kereta RM20 sahaja. Dan beli gas dengan lebihan duit. 

"Pergi isi minyak tu mana dapat duit?" Mama bertanya belum pun kakinya yang kedua masuk dalam kereta. 

Cerita tawakalku dalam berdoa tadi kuceritakan. 

Memang kami gelak-gelak tika bercerita, namun dalam hati kami hanya Allah  swt yang Maha Tahu. Yup! Allah swt sahaja yang tahu.

Sesungguhnya, ujian ini memang menguji tahap kesyukuran dan tawakkalku pada Allah swt. Kadang-kadang kita sering diberi kehidupan yang senang, sehinggakan lupa dengan orang yang susah. 

Jangan samakan kehidupan kita dengan orang lain. Cuba untuk menyelami perasaan dan masalah orang lain. Dan jangan kita layan semua orang pada tahap yang sama. 

Skil dalam menghadapi ujian ini memang perlu diasah. Terima kasih ya Allah swt atas ujian ini. Hatiku terketuk untuk muhasabah pencapaian amalan sunatku. Terima kasih ya Allah. :) 


No comments:

Post a Comment

Keberkatan Dalam Gaji

  Sumber: Photo by micheile henderson on Unsplash Sebenarnya rasa geram dan tak puas hati bila lihat orang gaji yang lebih daripada kita, t...