Thursday 25 February 2016

KERNA MIKROFON ITU


Hadiah istimewa buat anak muda. Kita mampu berubah!


Kerna Mikrofon Itu

Badan Ubaidah berpeluh. Dia berada dalam keadaan yang gelisah. Kakinya bergoyang-goyang tanpa henti. Tangannya memintal-mintal hujung t-shirt merahnya yang hampir basah bahagian belakang dek peluh yang banyak. Mulutnya sudah tidak mampu dibuka. Hanya Tuhan yang tahu perasaannya saat itu. Saat yang sangat mencemaskan. Saat yang paling tidak disukainya dalam hidup. Saat berhantu!

Ya! Sebuah mikrofon yang berwarna hitam kelabu itu berada di hadapan. Di atas meja penceramah. Bersinar-sinar ibarat mata pedang. Menyakitkan ketenangan Ubaidah.

“Ubai, ko kenapa ni? Gelisah je aku tengok.”

Ubaidah hanya membatu. Kaki terus rancak bergoyang. 

“Ubai, ko ok ke tak ni?”

Senyap. Masih membatu. Tiba-tiba,

“Aku nak ke tandas la Hud.” 

Ubaidah pun terus berdiri tanpa menghiraukan Hud disebelahnya. 

“Hah, adik berbaju merah. Berikan tepukan gemuruh. Akhirnya ada juga yang berani nak jawab.” Ustaz Hafizul memanggilnya ke hadapan dewan. 

Gulp. Ubaidah menelan air liur.

Seisi dewan menghadiahkan tepukan yang amat gemuruh. Bersorakan gembira tanda diri terlepas daripada bebanan menjawab soalan. Masing-masing berasa lega dengan berdirinya Ubaidah. Ubaidahlah hero mereka pada pagi itu. Penyelamat keadaan. 

Kegembiraan mereka bukanlah kegembiraan bagi Ubaidah. Dia seakan berada di awangan tatkala namanya disebut menggunakan mikrofon itu. Tepukan yang menggamatkan dewan seakan bunyi deruan ombak di lautan . Realiti atau mimpi? “Ini hanya khayalanku sahaja.” Ubaidah berkata dalam hati. Matanya terpejam rapat. Kakinya kaku berdiri. 

“Ubai, ustaz panggil tu. Pergilah depan.” Hud menepuk belakang Ubaidah. 

Ubaidah tersedar. Tanpa berfikir lagi, Ubaidah terus berlari keluar daripada dewan. Tanpa menoleh lagi kebelakang. Seisi dewan senyap. Terpaku. Ustaz Hafizul tersenyum. 

Rupanya tatkala Ubaidah dan Hud berbual pendek tadi, Ustaz Hafizul sedang bertanyakan soalan dan mencabar bagi siapa yang berani untuk menjawab soalannya. Ubaidah yang berdiri dengan niat untuk ke tandas telah disalah ertikan oleh Ustaz Hafizul. Ustaz Hafizul mengingatkan Ubaidah mahu menjawab soalan. 

“Habislah ko Ubai.” Hud mengeluh panjang.

***

“Abang, cuba tengok ni ha.”
“Apa dia dik?Abang tengah tengok cerita ni.”
“Semua kat Facebook kecoh pasal abang keluar dewan tinggalkan Ustaz Hafizul semalam tu.”
“Erk! Mana? Bawa sini Ipad ko tu.”
“Abang ni. Buat malu komponi je tau.” gelak Hafizah kuat memecah kesunyian banglo mereka.

Hafizah, adik bongsu Ubaidah yang berusia 14 tahun dan bersekolah di sekolah yang sama dengan Ubaidah sememangnya nakal. Dia akan mencari apa sahaja bahan jenaka untuk mengenakan abangnya yang perasan macho itu. 

Ubaidah terlopong. Malu pun ada. Dia tidak sangka yang kejadian hari itu akan mempopularkan dirinya di laman sosial itu. Habis viral cerita Ubaidah meninggalkan dewan ketika namanya dipanggil untuk menjawab soalan. Dia tidak mampu berkata apa. Memang salah dia.

“Ubai, ko yang cari masalah kan. Yang ko pergi lari tu kenapa. Haish.”

Mikrofon itu yang membuatkan Ubaidah hilang kawalan hingga sanggup melakukan perkara yang agak memalukan sebegitu. Ketakutan yang melampau terhadap mikrofon menjadikan Ubaidah, budak sukan sekolah yang sangat popular dalam kalangan pelajar perempuan hilang ke’sado’annya. Bagilah apa sahaja kerja kepadanya pasti akan dilaksanakan dengan sempurna. Namun bukan ‘perkara’ yang satu itu. Bercakap dihadapan khalayak ramai menggunakan mikrofon!  Sekali-kali tidak. Noktah.

“Dik, ko pun tahu kan yang abang tak boleh nampak mikrofon.”
“Iyalah. Dah tu kenapa abang lari macam tu je. Kelakarlah abang ni.”
“Sebenarnya masa tu abang berdiri sebab nak ke tandas. Bukan nak jawab soalan ustaz tu. Dah ustaz Hafizul tu terus je panggil abang kenapa.”
“Apa-apa je la abang. Habislah saham lepas ni,” hilaian tawa Hafizah terpecah sekali lagi. 

Saham Ubaidah sebagai pelajar sukan yang popular pasti turun. Itulah yang dimaksudkan adiknya, Hafizah. Ubaidah yang saban tahun menggondol piala Olahragawan Sekolah Menengah Agama Sultan Muhammad amat terkenal dalam kalangan pelajar-pelajar di sekolah itu. Terutamanya pelajar perempuan. 

Ubaidah sempurna sebagai anak jati Melayu. Ubaidah bukan sahaja berbadan tegap, namun berpewatakan matang berbanding pelajar lelaki lain yang seusia dengannya. Rambut hitam pekat tersikat kemas. Kulit sawo matang dan kening yang lebat menyerlahkan lagi raut wajahnya. Penyeri tatkala senyuman dilemparkan si lesung pipit tidak dapat dinafikan kemanisannya. Namun ada satu masalah. Pelajarannya tidaklah sehebat penampilan dan statusnya sebagai pelajar sukan yang diminati ramai. 

***
“Assalamu’alaikum adik-adik. Keif halukum?”     
                                                          
Abang naqib usrah Ubaidah memulakan bicara. Suasana tenang. Usrah mereka pada petang itu diadakan di Pantai Tok Jembal. Angin sepoi-sepoi memberikan rasa nyaman buat mereka. Tekanan banyaknya tugasan hilang sebentar. Deruan ombak merancakkan perbualan. Bau pisang goreng yang dibawa abang Halil merangsang minda dan perut rakan-rakan usrah Ubaidah. 

“Bang, makan dulu boleh tak?” Ubaidah memulakan bicara. Berdekah-dekah seluruh ahli usrah  mendengar kenyataan Ubaidah. Syukur. Akhirnya rasa mereka yang dipendam dalam hati telah diterjemahkan oleh Ubaidah. 

“Ubai. Ana nak minta tolong boleh tak?”Abang Halil cuba masuk daun.  

“Apa benda tu?”

“Esok kan ada riyadah dengan ikhwah Kolej Komuniti. Kan sepatutnya ana yang kena bagi pengisian. Tapi…”

“Jangan enta cakap enta tak boleh datang pulak.” Nada suara Ubaidah sedikit gementar. 

“Hah. Macam tahu-tahu je kan. Niat di hati nak minta enta ganti ana Ubai.”

Seluruh ahli serentak merenung wajah Ubaidah. Pucat lesi. Zero darah. Mereka tahu apa yang berlegar dalam pemikiran Ubaidah. Perkara paling dielak selama ini sedang datang menyapa masuk rumah. Pisang goreng Ubaidah yang tinggal separuh terbiar dalam genggaman. Ubaidah sudah tidak bernafsu lagi. 

“Kan ana dah cakap dengan enta Ubai. Sesuatu benda tu kalau kita tak suka lagilah dia datang melambai-lambai kita.” Yazid berseloroh. Selamba. 

“Ubai, enta faham kan tugas kita sebagai daie?” Abang Halil memulakan bicara. 

Abang Halil menyambung lagi. “ Daie ni tugas dia tak lain tak bukan ialah menyampaikan. Menyampaikan risalah Islam ke pelusuk dunia. Tapi waqi’ (realiti) kita Malaysia la kan. Dan bohonglah kalau ana nak cakap menyampaikan tak perlu guna mulut. Nak tak nak wajib guna mulut. Means that bercakap. Boleh saja kita nak menyampaikan guna tulisan. Bagus juga tu. Tapi, melalui percakapan yang terus kepada pendengar kadang-kadang diperlukan. Kadang-kadang lagi menyentap! Lagi-lagi untuk remaja yang malas membaca. Macam korang.”

“Ana faham je sebenarnya akhi. Haish, bilalah rasa takut ni nak hilang.” Ubaidah separuh mengeluh. Dia pun hilang punca dengan penyakitnya itu. Badan sado tapi takut untuk bercakap dikhalayak ramai.

“Satu je cara macam mana nak hilangkan penyakit enta tu.” Aiman menghulur idea sambil mengangkat-angkat keningnya. 

“Apa dia?”

“Esok enta ganti abang Halil la!” serentak mereka berenam menjawab.

***

“Ana tak nak la. Tak pernah dalam hidup ana terfikir nak jadi MPP ni. Pemimpin bagai.”

“Ubai, inilah masanya kita dapat peluang nak sebar fikrah kita. Agenda Islam. Tak ramai kalau enta tengok yang bawa manifesto Islam. Semua dunia belaka.”

“Tapi… Kenapa ana?”

“Sebab enta yang paling layak!”

“Layak? Tang mana tu layaknya. Cakap pun tergagap. Enta pun tahu kan ana kalau bab bercakap depan orang ramai macam mana. Memang tiada orang undi nanti. Buat malu saja.”

“Siapa cakap? Belum cuba belum tahu kan.” Sambil menggengam tangan menunjukkan tanda semangat. Aiman mengusulkan cabaran. 

Aiman berkeras sungguh untuk Ubaidah setuju dengan persepakatan persatuan mereka untuk menghantar Ubaidah sebagai calon umum di kampus mereka. Mereka yakin hanya dengan menghantar calon sahaja fikrah Islam yang mereka bawa akan tersebar dan didengari seluruh mahasiswa. Menang kalau kalah bukanlah perkara penting. Fikrah dapat disebarkan adalah matlamat utama mereka. 

“Malam manifesto tu nanti kita kaw-kaw jual ‘produk’ kita. Jangan berlapik lagi.”

“Enta jangan risau. Team kita akan uruskan dalam satu kumpulan. Strategi akan dipasang molek-molek. Insha Allah, kan Allah ada!”

Aiman, Muhammad dan Haikal membara-bara semangat mereka. Ubaidah tidak menafikan idea untuk masuk ke pilihanraya kampus adalah jalan terbaik untuk mereka memperluaskan lagi pengaruh dan fikrah mereka dalam kalangan mahasiswa di kampus. Persatuan mereka akan lebih dikenali dan bakal menarik ramai ahli lagi untuk bersama mereka. Tetapi, bukanlah dirinya yang menjadi calon. Itu bukan pilihan yang bijak baginya. 

“Bolehkah aku buat ni? Mampukah aku? Yakinkah aku nak masuk bertanding ni?”

Persoalan demi persoalan menjengah kotak pemikiran Ubaidah. Dia terasa seakan ada secebis harapan untuk menang jika strategi yang mereka rancangkan menjadi. Ubaidah yakin manifesto-manifesto mereka bakal memberikan kelainan berbanding tahun-tahun sebelum ini. Bukan hanya kebajikan menjadi keutamaan, namun pemantapan jati diri sebagai mahasiswa Islam yang sepatutnya diperkukuhkan lagi menjadi taruhan. 

Di sebalik harapan kemenangan, timbul sedikit kegusaran dalam hati Ubaidah. Malam penyampaian manifesto! Ya, malam penyampaian manifesto! Malam yang mana semua mahasiswa duduk berkumpul di speaker corner menilai manifesto-manifesto yang dicanangkan oleh calon-calon pilihanraya kampus mereka. Bertepuk tangan. Bersorak bagai. Sepanduk dan flyers.
 
“Itu amat menyeramkan! Arghhhh…” Hakimi menjerit melepaskan ketakutan.  

“Wei, ko kenapa Bai. Terkejut aku.”

“Eh, sorry Am. Saja melepaskan stress.” Tersengih kerang busuk Ubaidah. Dia tidak mahu rahsianya terbongkar. Rakan sebiliknya itu sedang khusyuk bermain permainan video. Seharian bermain itu pun Amran sanggup. Gila!

***

“ Ubai, ada something dalam bakul motorsikal enta la!” Aiman hampir menjerit tatkala melihatkan sesuatu yang berbungkus dalam bakul motorsikal Ubaidah.

Kelas Maqasid Shariah baru sahaja melabuhkan tirai. Cepat-cepat Ubaidah menuruni tangga sebaik mendengar teriakan Aiman. Maqasid Shariah ialah subjek kegemaran Ubaidah. Belajar tentang hikmah disebalik pensyariatan yang Allah s.w.t turunkan. Subjek ini akan mengajar kita supaya sentiasa optimis dan memandang ke hadapan. Kenapa Allah s.w.t syariatkan solat? Kenapa zina dan arak diharamkan? Kenapa hudud yang masyarakat nampak kejam itu Allah s.w.t perintahkan? Semuanya ada sebab dan matlamat. 

“Apa benda tu Man?” 

“Manalah ana tahu. Cubalah buka.” Aiman tidak sabar untuk melihat apa isinya bungkusan itu. 

“Coklat?” Ubaidah terkejut. 

“Enta ada peminat la tu. Sejak-sejak nama naik jadi calon MPP ni. Ada kad tu, cubalah tengok siapa.”

“Assalamualaik  akhi Ubaidah. Semoga terus gencar dakwahnya selepas jadi MPP nanti. Semoga berjaya! –Mawar-.”

“Astaghfirullah al-adzim. Ini bukan matlamat kita Man. Fitnah ni Man. Tak pernah terfikir pun ana nak jadi terkenal bagai. Ujian  semua ni!” Ubaidah mengeluh dan menundukkan kepalanya ke tanah.

“Ana kenal enta Ubai. Matlamat kita masih matlamat yang sama walaupun ada ujian datang. Habis itu coklat ni?”

“ Herm…bagi je la roommate enta Man. Friendship day kata ke dia.” 

“Baik ana je makan kalau gitu.”
 
Akhirnya perbualan mereka ditutupi dengan hilaian tawa Ubaidah dan Aiman. Sedangkan perlakuan mereka ada seseorang yang memerhati daripada jauh. Seseorang yang tersenyum tatkala melihat senyuman Ubaidah yang sangat dikaguminya.

***

“ Enta kena ingat Ubai. Manifesto-manifesto ni mesti dilaungkan dengan semangat yang terlebih semangat. Tak payah ingat bulat-bulat ayat tu. Ikut ayat yang selesa dengan enta pun okey saja.”

“Arghhh. Seram betul ana ni. Tangan dah sejuk je ni.”

“Insha Allah, enta kan selalu cakap Allah kan ada! Apa yang nak dirisaukan lagi.”

Mereka saling menguatkan satu sama lain. Ubaidah menjadi sasaran untuk dikuatkan pada malam itu. Malam itulah malam yang paling ditakuti Ubaidah. Malam manifesto yang akan menyerlahkan kepimpinan barisan calon yang telah disenarai pendekkan. Malam yang semua mata memerhatikan setiap tingkah laku dan apa yang diucapkan oleh calon-calon. Ubaidah semakin berdebar. 

“Ubai, ada surat dalam bakul motorsikal enta.”

Akhi, buat yang terbaik! –Mawar-

“Allahu Akbar! Hamba kuat. Jangan biarkan nafsu melalaikan hamba.”
 
Ubaidah berdoa dalam hati. Ubaidah tahu ini semua permulaan-permulaan ke arah zina. Memang nampak seronok untukk ada peminat dalam diam yang sentiasa memberi sokongan dan perhatian. Ianya mengasyikkan. Namun kita tidak sedar dalam diam perbuatan itu sudah mencuri perhatian dan cinta kita yang sepatutnya kita berikan sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Nafsu yang mendorong kita untuk terus melayan segala ibu zina ini. 

“ Doakan ana Man. Supaya ana tak lalai dengan ujian ini.”

“Ameen. Lupakan saja la Bai. Dah jom ke speaker corner. Team kita dah bersedia dengan sepanduk dan sorakan tu.”

Aiman yang sentiasa disisi adalah sahabat dunia akhirat Ubaidah. Walaupun mereka mempunyai dua watak yang berbeza namun itulah penyeri persahabatan mereka. Berada di dalam usrah dan kelas yang sama membuatkan mereka sungguh akrab. Sentiasa berdua walau ke mana sahaja. Menjadi imam dan bilal di surau menjadi adat setiap Maghrib mereka. 

“Kita bukanlah mahasiswa biasa! Kita adalah mahasiswa yang luar biasa. Manifesto saya yang kedua ialah saya menanam jati diri Muslim sejati dengan penganjuran program berbentuk ancaman pemikiran. Pelbagai ancaman pemikiran yang sedang menyusup dalam kehidupan kita. Liberal, sekular, hedonisme dan pelbagai lagi semakin menang dan kita semakin kalah. Jika kita tiada jati diri yang kukuh, semua ancaman ini akan menyerap ke dalam diri dan keluarga kita tanpa kita sedari.”

“Kenapa kita perlu menjadi seorang yang kukuh jati diri kita? Kerna kitalah manusia bijak yang dipandang tinggi oleh masyarakat luar. Kalau kita, siapa lagi.”

Tepukan gamat mahasiswa disulami dengan jeritan-jeritan sinis tidak dapat mematahkan semangat Hakimi dan sahabat-sahabatnya. 

“Klise sangatlah manifesto!”

“Macam Islamik sangat je!”

“Kalau bukan kita mahasiswa Islam yang perlu mengangkat Islam, siapa yang mahu mengangkat bendera kita yang hampir jatuh tu. Sekian. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.”

Sebaik Ubaidah turun daripada Speaker Corner, sahabat-sahabat Ubaidah mendapatkannya. Mereka mengucapkan tahniah dan bangga dengan pencapaian Ubaidah. Sungguh luar biasa beraninya. 

“Mantaplah enta Ubai!”

“Eh. antum jangan main-main. Ini bukan Ubaidah yang dulu tau, ini Ubaidah yang sekarang!” 
seperti biasa Aiman menceriakan suasana. 

“Ubaidah sekarang yang macam mana tu Man?” Ubaidah mengangkat kening kirinya sambil tersenyum sinis. 

“Alah, Ubaidah yang macam ini la.”

Berderai tawa mereka. Bukanlah kejayaan yang menjadi matlamat mereka. Islam dapat disampaikan dengan terbuka dan bangga manjadi tujuan utama. Sama ada berjaya atau tidak itu adalah urusan yang Maha Penentu Kejayaan. Kita sebagai insan hanya mampu berusaha sehabis baik. Insha Allah, Dia Maha Pemberi yang Terbaik!
-Tamat-


PENGAJARAN DARIPADA SEORANG UBAIDAH

Setiap daripada kita ini akan mempunyai kekurangan dan kelebihan masing-masing. Sama ada kita sedar mahupun tidak sedar. Ada orang bijak yang sedar akan kekurangannya dan cuba untuk menggunakan kelebihan yang dia ada untuk menyumbang kepada insan lain. Ada orang yang sentiasa berputus asa dan sering memfokuskan pada kekurangan diri hinggakan menganggap diri sendiri tiada berguna dan tiada manfaat. 

Ubaidah menjadi guru kepada kita bahawa kita perlu untuk mencari jalan keluar daripada ketakutan akan kelemahan diri. Kita perlu berani mencabar diri sendiri. Sahabat-sahabat sekeliling yang soleh juga memainkan peranan sebagai agen perubahan. Akhirnya, kita boleh menjadi seorang anak muda yang tinggi himmahnya dan terus mencari peluang untuk menyebarkan potensi pada ummah. Selamat mencuba!

 # cerpen ini terdapat dalam helaian-helaian terakhir buku Basikal Karat. Boleh dapatkan naskhah ini agar manfaat sama-sama dapat dikongsi. :)



No comments:

Post a Comment

Keberkatan Dalam Gaji

  Sumber: Photo by micheile henderson on Unsplash Sebenarnya rasa geram dan tak puas hati bila lihat orang gaji yang lebih daripada kita, t...